Penggunaan RAM komputer yang rosak boleh menimbulkan pelbagai masalah. Jika anda mendapati komputer anda sering tergendala dan kerap kali perlu restart untuk menggunakannya, anda mungkin perlu memeriksa keadaan RAM anda.
Random Access Memory (RAM) akan mengalami kemerosotan prestasi apabila tiba waktunya suatu masa nanti. Tiada ada apa yang kekal di dunia ini termasuklah RAM anda. Simptom-simptom ‘penyakit’ yang sering berlaku apabila RAM anda perlu digantikan adalah PC kerap tergendala (hang), restart sendiri dan juga kehadiran BSOD (Blue Screen Of Death).
Terdapat sesetengah kes di mana, komputer yang bermasalah dengan RAM ini boleh digunakan seperti biasa bila ia baru dihidupkan, tetapi lama kelamaan ianya mula slow sehinggalah ia ‘hang’ dan akan pulih semula selepas restart. Itupun, salah satu tanda-tanda RAM yang sudah rosak.
Sebelum hangpa kalut nak pi beli RAM baru, sebaiknya anda perlu melakukan diagnostik untuk mengesan RAM mana yang benar-benar perlu untuk digantikan.
Panduan mengesan RAM yang bermasalah pada PC
Di dalam Windows, turut disediakan alatan untuk melakukan diagnostik terhadap memori komputer anda. Untuk mendapatkan alatan ini, anda hanya perlu taipkan memory pada kotak carian (Start > Search untuk Windows 7, sebelah butang Start untuk Windows 10). Dari situ, pilih Windows Memory Diagnostic.
Dari tetingkap yang dipaparkan, klik Restart now and check for problems.
Windows akan dimatikan dan komputer akan dihidupkan semula bentuk program diagnostik memori. Sementara itu, anda hanya perlu tunggu untuk beberapa minit dan apabila ia selesai, ia akan dihidupkan kembali ke Windows.
Seterusnya selepas selesai dan kembali semula ke Windows, anda taipkan event pada kotak carian dan pilih Event Viewer.
Pada bahagian tepi kanan Event Viewer, kembangkan Windows Logs dan klik pada System. Kemudian, klik kanan pada System (anda perlu klik terlebih dahulu pada System sebelum klik kanan) dan pilih Filter current log.
Seterusnya, satu kotak dialog baru akan dibuka. Dari kotak dialog berkenaan, pilih menu drop down pada Event Source dan cari MemoryDiagnostics-Results dan tandakan pada kotak disebelahnya. Klik OK dan tutup kotak dialog.
Kembali ke Event Viewer, sebuah senarai berkenaan diagnosa memori akan dipaparkan
Klik pada senarai berkenaan dan maklumat lanjut berkenaan memori anda diceritakan di dalam log ini.
Jika event viewer memaklumkan bahawa terdapat masalah pada RAM anda (contoh diatas menunjukkan komputer ini tiada masalah RAM), matikan komputer anda dan tanggalkan RAM-RAM dan tinggalkan hanya satu sahaja. Kemudian hidupkan semula komputer dan ulangi langkah-langkah diagnosa RAM seperti yang diterangkan di dalam artikel ini. Ulang untuk setiap RAM sehingga anda dapat benar-benar dapat mengesan RAM mana satu yang bermasalah.
Sumber : Harian Teknologi
No comments:
Post a Comment